09 March 2014

MAJLIS TADARUS AL QURAN ZON SIKUATI 2014

7 MAC 2014

Bertempat di SK Parapat Darat, berlangsung satu pertandingan bersempena MTQ Zon Sikuati sesi 2014 bagi memilih wakil zon ke peringkat daerah Kudat. Pertandingan yang dijalankan adalah Tilawah dan Hafazan Al Quran, Bercerita Kisah Al Quran dan Nasyid. Menurut Guru Besarnya En. Suahid Hj Onggong, ini pertama kali SK Parapat Darat melaksanakan program keislaman bagi peringkat zon ini dan ia dijayakan dengan baik apabila dirasmikan oleh YB Datuk Abd Mijul Hj Unaini yang diwakili oleh En. Abdan selaku Pegawai Kemajuan Rakyat kawasan N1 Banggi.

Apa yang lebih menggembirakan, kontinjen SK Dampirit yang disertai seramai 3 orang yang menyertai Pertandingan Tilawah Al Quran Perempuan (Adik Norsyaera Aswan) telah mendapat tempat ketiga dan bagi acara bercerita (Adik Mohd Zamri Azmi) hanya mendapat saguhati dan adik Norfarahana Syafikah yang menjadi naib johan pada edisi kali ini. Perkara ini sekaligus menaikkan nama SK Dampirit yang selama ini agak tenggelam namun berkat usaha para guru menyaksikan kejayaan berjaya ditempa pada temasya kali ini. Tahniah diucapkan dan pada tahun hadapan kita cuba lagi.






06 February 2014

MSSM ZON SIKUATI KE-40

4 FEBRUARI 2014

MSSM Zon Sikuati ke-40 telah berlangsung di Kompleks Sukan Kudat dan dituan rumahkan oleh SRK Lok Yuk Sikuati, Kudat. Dengan disertai oleh 7 buah sekolah sekitar Zon Sikuati iaitu tuan rumah, SK Sikuati, SK Barambangon, SK Lajong, SK Kg. Minyak, SK Torongkongan dan sekolah kita SK Dampirit. Kejohanan tersebut berlangsung dari awal pagi sehingga penutupan kira-kira jam 5 petang. Penutupan dirasmikan oleh En. Abdullah Akop, Pegawai Unit Sumber Kemanusiaan PPD Kudat dan diserikan lagi dengan persembanhan tarian singa. Walaupun keputusan prestasi sekolah tahun ini kurang memberangsangkan namum kita dapat mengekalkan kutipan pingat seperti tahun lepas iaitu 1 perak dan 1 gangsa. Perak dimenangi oleh adik Vennysa Richbon dalam acara pecut 100M dan adik Siti Noranisah memenangi gangsa dalam lontar peluru. Kita berharap agar pada tahun hadapan sekolah akan dapat melahirkan atlet yang lebih baik dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Kontinjen sekolah diketuai oleh Cikgu Ariffin Husen selaku PK Kokum sekolah.





26 January 2014

SKDK JOHAN SEPANDUK MAULIDUR RASUL KUDAT 2014

26 JANUARI 2014

Sempena hari keputeraan Rasulullah S.A.W, daerah Kudat turut tidak ketinggalan mengadakan sambutan tersebut yang diadakan setahun sekali. Banyak jabatan, NGO, sekolah dan kampung menyertai sambutan ini dan SK Dampirit mengambil kesempatan menyertainya buat julung kali bagi sekolah dan bagi sekolah luar bandar kudat. Selama ini, kebanyakan sekolah yang menyertai pertandingan sepanduk dan kontinjen adalah dari sekolah rendah kawasan bandar Kudat. Perarakan dilansungkan dari Kompleks Sukan Kudat menyusur jalan Esplanad Sidek sehingga ke Dewan Tun Musthapa sambil berselawat beramai-ramai.

Namun, apa yang lebih menggembirakan dan membanggakan adalah pengalaman yang diperolehi oleh para pelajar yang dibawa menyertai serta kejayaan SK Dampirit yang menggungguli kategori sekolah rendah buat kali pertama dan memecahkan dominasi sekolah-sekolah bandar. Kejayaan ini sekaligus membuka mata rakyat Kudat khususnya bahawa SK Dampirit merupakan sebuah sekolah yang hebat dan mampu bersaing dalam apa jua bidang. Semoga kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada sekolah luar bandar yang lain untuk sama-sama memeriahkan Maulidur Rasul pada masa akan datang.




23 January 2014

MAJLIS PELANTIKAN PENGAWAS, AJK DISIPLIN KELAS DAN PUSAT SUMBER 2014

Bertempat di Dewan Terbuka SKDK, telah berlangsung majlis pelantikan pengawas, ketua kelas dan timbalan ketua kelas serta pengawas pusat sumber. Majlis yang dirasmikan oleh guru besar tersebut dilaksanakan dengan penyampaian sijil pelantikan dan pemakaian vest bagi semua murid terpilih. Barisan pengawas tahun ini akan diketuai oleh adik Cherry Metyll Voon. Semoga murid dapat menjalankan tugas dengan baik dan amanah untuk kesejahteraan sekolah kita.